Tuesday, September 3, 2019

MOUNT TAHAN EXPLORATION/PENDAKIAN GUNUNG TAHAN 2019: A MYSTICAL JOURNEY (KUALA TAHAN-MERAPOH)

EKSPLORASI GUNUNG TAHAN 2019 a.k.a TRIP GRADUASI TAHAN (TGT)

Hi guys! So untuk entri kalini nak cerita pasal trip hiking ke Gunung Tahan melalui Kuala Tahan dan turun di Merapoh. Before proceed dengan hari kejadian, nak cerita sikit pasal tercetusnya idea naik Gunung Tahan ni. So basically trip ni adalah untuk melengkapkan pendakian gunung G7 bagi ahli2 KRESMA yang telah melengkapkan ekspedisi V3 sebelum ini. Lineup untuk trip ni memang selected, sebab apa? sebab guide sendiri yang tanya kitorang semua ada pengalaman ke tak dalam dunia pergunungan ni. Awal-awal dia dah kata route kuala tahan-merapoh ni agak mencabar, so dia mengharapkan dari lineup semua yang berpengalaman so that everything will go smoothly. Jadi setelah berbulan planning dan hantar paperwork dan lulus, kami pun buat persiapan & kumpulkan lineup seramai 29 orang. Then kami pun bertolak dari Shah Alam pada 6.00pm 20/8/2019.

Lineup of the decade: 3 generation, 1 mission
Perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Tahan memakan masa lebih kurang dalam 4-5 jam. Kitorang sampai Kuala Tahan jam 12.00am, sampai-sampai je dekat situ lepas dengar brief dari guide, masing2 bukak bag, packing barang untuk declare keesokan harinya untuk mudahkan kerja sebelum mendaki, then kitorang tidur dekat pondok2 sebelah tempat bot tu. Oh ya, semua Taman Negara kalau nak naik, kena declare barang dulu kat bawah before start daki, then masa turun pun kena undeclare balik, apa yang kita bawak naik kena bawak turun balik."Take nothing but photographs, leave nothing but footprints, keep nothing but memories"




Tempat RNR kami pada malam sebelum hari kejadian

21/8/2019-1st Day (Starting Point-Lunch-Kem Melantai)

So it's the first day of the expedition! Untuk declare barang & mula mendaki dekat kuala ni, kena lintas sungai dulu ke seberang sana. Sungai ni dinamakan Sungai Tembeling, untuk melintas ke sebelah sana, kena naik bot, takleh berenang eh. Satu kali trip di caj RM1, dan satu bot maksimum 10 orang. Sampai je sana, kitorang dibahagikan kepada 3 group, 1 group 1 pegawai perhilitan. Diingatkan bahawa parang adalah dilarang sama sekali untuk dibawa semasa trip. Guide kitorang untuk trip kalini ialah Abang Engku, Abang Wan, Syahmi dan Farhan. Jam menunjukkan 10.45am, lepas kitorang semua selesai declare barang, tiba masa untuk angkat sauh!


Sungai Tembeling yang harus dilintas dengan menaiki bot RM1 per kepala

Semasa awal perjalanan, trek-trek adalah melalui papan-papan yang disusun sepanjang trek sehingga sampai ke satu point. Oh ya masa kitorang start trekking tu, adalah terserempak dengan tourist, diorang ni tak mendaki pun, diorang just take a nature walk around kawasan tu, tu lah function platform2 kayu yang ada dibuat dekat kawasan tu.

Canopy Walkway

Kitorang pun sambung lah trekking, kebanyakkannya lalu tepi-tepi sungai. Pukul 1.30pm, kitorang berhenti rehat untuk lunch, makan lunchpack yang beli dekat warung nasi lemak pedas makan time breakfast tadi haha. Then pukul 2.30pm kitorang mula trekking balik menuju ke campsite untuk hari pertama ni, iaitu Kem Melantai. Trek pada hari pertama ni kebanyakkannya santai, mostly flat lah tapi ada lah sikit-sikit naik elevation tu. Oh tapi 1st day ni pun dah ada orang injured hahaha >.< takda lah injured apa cuma cramp je, si farid ni sepanjang-panjang jalan asyik cramp, pastu tak menahan dia punya menjerit bukan main kuat "oi dia tarik oi sumpah dia tarik!" hahahaha nasib dia padu boleh tahan sampai habis. Lepas sepak-sepak daun kitorang pun sampai lah kat Kem Melantai pukul 5.15pm (agak awal untuk geng KRESMA hahaha)

Jambatan kayu yang perlu dilalui

Batu sempadan Taman Negara dari zaman Tanah Melayu
Kem Melantai

22/8/2019-2nd Day (Kem Melantai-Bukit Jerman-Kem Tengah-Bukit Malang-Puncak Rajah-Kem Puteh)

Hari kedua ekspedisi. Lepas siap2 breakfast & packing barang semua, pukul 8.30am kita start trekking dari Kem Melantai. Untuk perjalanan pada hari ini, guide brief yang kitorang akan melalui banyak bukit-bukit  dan puncak tipu, and permatang & lereng-lereng bukit jugak. So kitorang pun start trekking. Apa yang aku perasan trek Kuala Tahan ni, trek dia fresh & clean je, mungkin sebab kurang orang yang naik Gunung Tahan lalu belah kuala ni, and trek dekat belah kuala ni terkenal dengan binatang yang banyak share sama laluan dengan trek manusia. 

Bukit Jerman
Oh cerita pasal laluan binatang pulak ya. So masa trekking tu, kitorang trekking macam biasa lah, bukak speaker, nyanyi-nyanyi masa trekking, so takdalah sunyi sangat and enjoy lah sikit kurang sikit penat tu (kurang la kot hehe). Then masa tengah-tengah trekking otw ke Kem Tengah tu, ada lalu satu kawasan ni, macam clear semacam. Mula-mula aku perati pokok rotan yang jatuh kt tanah tu (pokok duri tarikbalik), ingatkan guide depan rintis la kot sebab biasanya pokok ni memang kena clear kan dulu sebab nanti baju lineup mesti sangkut kt duri ni, tapi bila tengok dekat pangkal ranting yang jatuh tu, macam ada yang makan/pijak, and kawasan tu pun clear quite besar. Thennnnnnn jeng jengggggg, look what i've found. A FRESH ELEPHANT'S POOP! Memang nampak clear gila taik tu still basah, and still banyak lalat and agas hurung taik tu and bau taik tu still kuat. Biasanya malang tak berbau, tapi kalini berbau. That's mean dia tak berapa jauh dari kitorang. Dari situ abang engku dah suruh slowkan lagu takpun tutup je lagu tu, sebab dia risau gajah tu still ada area situ, sebab katanya taik tu maybe baru lagi, around pagi tadi punya. Agak panik sikit tapi semua buat chill je, dia cuma risau kalau si belalai tu turun makan jap, then naik balik and follow trace kitorang dari belakang. 

Najis gajah yang masih lagi "fresh"
Then kitorang teruskan perjalanan, pukul 1.00pm sampai kat Kem Tengah untuk lunch. Waterpoint dekat Kem Tengah ni kena turun dalam 5 minit ke bawah tu, pastu air kecil pulak tu. Masa rehat dekat sini aku terdengar Top terkena bala, telur dia dalam bekas pecah. Aku pun dapat rasa aku kena bala jugak ni, so aku decide bukak beg. DAMN! Sos cili pecah. Geleng kepala aku agak banyak pulak tu yang tumpah dalam beg tu, habis ration, baju, sleeping bag, carry matt semua kena sos, so aku decide bawak turun mana yang larat tu pergi cuci dekat waterpoint bawah tu.

Rehat dalam sejam, pukul 2 sambung trekking. Fuhh sambung trekking lepas lunch ni yang payah ni, badan dah berat, pastu trek pacak pulak ke Bukit Malang ni. Hahahaha nama dia bukit malang sebab malang la dia punya pacak takda diskaun beb. Ohh masa trekking tu aku sembang lah dengan Syahmi, salah sorang guide kami, aku tanya dia kat sini ada bunga Rafflesia ke? Then dia kata ada rezeki boleh je jumpa, area yang biasa jumpa dekat Kem Tengah tadi, alah takpelah takda rezeki nak buat cemana kan. Ok sambung cerita, daripada Bukit Malang ni, sambung trekking pulak ke Puncak Rajah. Haha nama je Rajah tapi dia bukan Gunung Rajah via KKB via Bentong tu tapi ni nama je Puncak Rajah, maybe macam puncak Gunung Rajah lah kot, tapi apa yang pasti puncak ni open space & tersangat-sangatlah panas, so tak berhenti rest pun kat sini.
Puncak Rajah yang panas terik
Daripada sini, perjalanan diteruskan lagi menuju ke destinasi terakhir pada hari ini, iaitu Kem Puteh. Time otw ke Kem Puteh ni kitorang yang geng-geng depan ni (10 orang) pecut nak sampai awal ke campsite punya pasal, 5.15pm dah sampai campsite. Sampai awal lagi hahaha. Then lepas sampai apa lagi semua masuk sungai lerr basahkan badan mandi lepas seharian trekking, then kitorang bina banglo kat sini sebab campsite kat Kem Puteh ni agak luas jugak lah. Guide kata esok pagi lepas air sungai tu surut baru kita akan lintas ke sebelah sana.  
Tak berapa surut, esok pagi mungkin boleh lintas ke seberang sana

Ada lagi satu perkara malang yang berbau berlaku pada kami. Ayam. Ikan juga. Ayam & ikan yang kami goreng dekat workstation dah mula berbau hanyir dan melekit. Kebiasaanya ayam yang dah goreng ni biasanya tahan lama, sampai hari ke-5, tapi yang kalini hari ke-3 dah berbau. Selepas siasat puncanya, rupanya ayam yang digoreng hanya lah 'half-cook' dan bukan sepenuhnya garing, jadi tak tahan lama. Penyelesaiannya kami terpaksa basuh balik ayam yang berbau tadi dan buang segala lendir yang melekit-lekit dekat ayam tu, kemudian digoreng balik.

Okay berbalik kepada cerita pasal Kem Puteh pula, kem ni banyak sejarah dia. Salah satunya is, dulu pernah lah ada satu geng mat salleh ni 3 orang, dengan 1 guide. Diceritakan lah mat salleh ni beriya bukan main cakap nak jumpa gajah, sekali betul binatang tu datang tempat tu betul-betul. So apa lagi bertempiaran lah lari semua kat situ, habis semua beg dia rodok sampai lenyek.

23/8/2019-3rd Day (Kem Puteh-?)

Hari ketiga. Hari yang..... Entahlah. Berbalik kepada malam tadi. Sebelum tidur tu dah perati dah langit semua, nampak elok je cuma ada lah sikit-sikit "flashlight". Then sebelum tidur tu, tetiba menitik. Langit mencurahkan rahmatnya dalam tangisan yang sendu. Gerimis mengundang, semua bungkus beg pakai plastik hitam & payung/ground so that pagi esok takdalah basah beg tu. Tiba-tiba dalam kesedapan tidur semasa gerimis tu, pada jam 3 pagi, hujan turun dengan lebatnya. Apalagi semua serabut lah betulkan ground, susun beg ikea balik nak cover, korek longkang pakai sandal, tengah2 serabut tu tetiba air pulak masuk ground dah sudahhhh. Habis mengalir lalu ground, carry matt dgn sleeping bag tu memang basah lah. Tiba-tiba keluar seorang hero, adib namanya.Paskal teruk dia keluar korek longkang sekeliling fly tu pakai kole besi je. Bila air semua dah mengalir ikut longkang & dah tak masuk lalu kat ground, semua masuk sleeping bag basah tadi tidur balik huhuhu.

Keesokan paginya. Betullah macam yang abang engku kata, hari ketiga adalah hari penentuan bagi trip kuala-merapoh, either teruskan perjalanan ataupun extend hari. Sungai yang diharapkan surut pada pagi ini, ternyata meleset jangkaan kami. Air menjadi keruh, arus bertambah deras. Dalam fikiran kami, sudah tentunya terpaksa extend sehari nampak gayanya.

Sebelum: petang semalam
Selepas: Kayu balak kat tengah tu dah tenggelam, and tengok lah betapa tinggi air tu naik & deras siap berombak lagi

Selepas guide tengok keadaan Sungai Tahan yang "mengganas" pada pagi ini, dia pun decide untuk stay lagi satu malam dekat Kem Puteh tu. Tiada apa yang boleh dilakukan, kalau tunggu sampai petang pun tak pasti arus sungai akan makin surut. Tiada apa yang dilakukan pada harini, kecuali tidur makan tidur makan mandi dan tidur balik. Hari ketiga adalah hari "offday".

Tidur dan termenung
Tapi malam tu aku takdelah terus tidur, tapi sembang-sembang dekat khemah guide. Abang engku banyak cerita pasal pengalaman itu, pengalaman ini, pasal SAR (Search & Rescue). Dia siap cerita lah pasal SAR Umai di Gunung Tahan ni dulu, Umai ni hilang 19 hari, dia dijumpai dekat Kem Puteh tempat kitorang stay ni. Then banyak lagi dia cerita, pasal pemburu lah, pasal flora and fauna dekat Banjaran Tahan ni lah. Sampai lah dah rasa lewat malam, semua decide masuk fly untuk tidur. Oh, langit masih lagi memperlihatkan "flashlight"nya.

24/8/2019- 4th Day (Kem Puteh-Kem Melentik)

Kerisauan penampakan flashlight malam tadi ternyata benar. Hujan gerimis tatkala lena melayari mimpi di bawah fly. Aku terbangun seketika, redha dengan apa yang bakal berlaku pada hari esok.

Keesokan paginya, semua bangun seperti biasa. Sungai Tahan mula surut, tapi tidak cukup surut untuk membenarkan kami melintasinya ke destinasi yang seterusnya. Masing-masing masak dan makan sarapan seperti biasa, sambil berdebar menunggu pengumuman dari guide kami. Abang engku ke hulu ke hilir bagi melihat paras sungai tersebut. 

Masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Abang engku beri pengumuman. "Okay semua siap-siap, kita akan terus berjalan ke depan, skip dua sungai, tapi kena melalui tebing-tebing sungai sehingga sampai ke satu sungai yang mana nak taknak memang kena lintas, itulah penentuan yang terakhir" katanya. Jadi pada jam 10.10am, kami pun mula berangkat.

Perjalanan ke destinasi seterusnya mengambil masa lebih kurang 2 jam. Bila disebut pasal tebing-tebing sungai, pastinya melalui banyak kawasan-kawasan air serta anak-anak sungai yang mengalir terus ke Sungai Tahan, dan pacat. Ugh, jangan disoal, itu semestinya wajib. Aku sendiri kena tapi tak perasan, luar stokin ada, dalam stokin ada, yang gigit dekat stokin pun ada! Dah nama pun alam, itulah dia, kita sebagai tetamu, mereka sebagai penghuni, jadi redha jelah darah kita derma kat dia hahaha.

Jalan punya jalan, sampai pun dekat kaki air sungai yang nak dilintas tadi pada jam 11.30am. Oh ya, lebar sungai dekat Kem Puteh tadi lebih kurang 50m, tapi yang dekat Kem Melentik ni ialah 100m. Boleh bayangkan tak betapa lebarnya, 2 kali panjang swimming pool! So kalini memang nak taknak kena lintas, no shortcut or other way. "Air nampak masih tak surut, takpa kita tunggu sampai pukul 12 lebih kita tengok macam mana nanti" abang engku bagi kata sikit. Then dia dengan guide-guide lain turun ke sungai tu nak tengok keadaan paras air sungai tu.

Jam menunjukkan 1.00pm, kami masih menunggu lagi pengumuman dari guide. Tiba-tiba guide pun bagi pengumuman suruh masak & makan dulu, sementara tunggu keadaan air. Selepas selesai makan & cuci semua, jam 2.00pm abang engku & guide-guide lain panggil semua berkumpul dekat atas untuk berbincang.

"Dukacita dimaklumkan yang sungai kat depan kita ni masih lagi sama, takda menunjukkan tanda-tanda nak surut pun". Aku dah mula redha dah time ni, jauh-jauh kita jalan sampai sini, tapi takda rezeki nak buat macam mana kan. Abang engku sambung "Bukan kita tak cuba, kitorang dah sedaya upaya dah bawak korang sampai sini, nak kasi korang sendiri nampak keadaan sungai ni macam mana. Tapi korang sendiri nampak yang air dia takda tanda-tanda nak surut, kalau bawak pun still dekat paras yang bahaya. Sebelum ni tak pernah terjadi macam ni pun, before ni ada jugak yang delay sehari macam korang, tapi bila gerak dari Kem Puteh sampai sini, air sungai ni dah surut. Okay macam ni lah abang bagi pilihan, samaada kita tidur sini lagi satu malam, takpun kita patah balik tidur dekat Kem Puteh, pastu habiskan sisa lagi 7 hari 6 malam trip ni patah balik turun dekat kuala". 

Itulah yang terjadi apabila kita bermain dengan alam, sesuatu yang sukar diduga. Kita merancang tapi Allah juga yang tetap akan menentukannya. Jadi kami pun mula berbincang. 

1. Kita dah jauh jalan ni, takkan nak giveup macam tu je, apa kata kita tidur je lagi sehari dekat sini, kita tengok esok macam mana last chance.
2. Kalau kita extend sehari, macam mana dengan yang kerja ni? korang okay ke tak ni?
3. Untuk inform bas takdehal, kita boleh cari line dekat atas-atas nanti.
4. Kalau lah contohnya pukul 6 dah surut, why not kita jalan je lintas sungai ni. Atleast dah tau surut, kalau esok taktau lagi dah surut ke tak kalau tetiba malam ni hujan lagi.
5. Apa kata kita try je jalan malam, budak KRESMA kan dah biasa OT dalam trip2 sebelum ni.

Perbincangan sedang dijalankan
Segala persoalan dan pendapat dari lineup aku dengan Belle selaku gogo dengar dengan teliti. Banyak pendapat, banyak jugak bangkangan, suasana masa tu agak genting. Lepas habis bincang, aku dengan belle pun berbincang balik dengan guide-guide tu. 

Guide mula beri jawapan dan pandangan:

1. Kita try tidur dulu sini satu malam, esok pagi kita redha sama ada boleh lintas atau tak itu bergantung dekat esok hari.
2. Yang kerja ni semua okay je cuti lebih sehari.
3. Untuk bas nanti dekat Tangga 15 boleh try cari line inform diorang.
4. Cutoff pukul 2-3pm. Nak taknak kena crossing sebelum pukul 3 jugak. Pukul 4 ke atas dah tak boleh cross sebab ada dalam 5 sungai lagi before sampai next campsite. 
5. Kitorang taknak ambik risiko jalan malam. Belah kuala ni bahaya untuk jalan malam. Antaranya sebab banyak binatang, pastu tengok lah sungai dia luas dengan arus yang deras pulak tu. Kalau kepala air datang nak hentam, takda siapa boleh perasan dia datang.

Selepas puas sesi soal jawab & berbincang dengan lineup & para guide semua, kitorang semua capai kata sepakat; untuk tidur dekat sini. Campsite ni boleh dikira emergency campsite, so aku kira takda nama. Tapi abang engku kata campsite ni namanya Kem Melentik.

Rupanya perbincangan tadi masih belum habis. Abang Engku nak buktikan dekat kitorang jugak yang sungai ni masih bahaya untuk cross. So dia panggil beberapa orang untuk try crossing dengan dia ke seberang sana. Jadi ada lah beberapa orang yang ikut. Mula-mula aku tengok paras ok je, sekali sampai je belah sana kitorang semua macam "Wow dalam siot!" Najmi dengan belon yang dikira tinggi tu masuk, sampai paras dada. Then diorang pun sambung tengok sungai yang lain. Kami yang masih stranded dekat campsite ni masih lepak dekat sungai tunggu kepulangan mereka.

Beberapa peserta turut mengikuti guide, dan yang lain sekadar menunggu di tebing sungai
Tunggu punya tunggu, akhirnya diorang pun patah balik ke sini. Diorang cerita yang sungai-sungai depan tu memang dalam and arus memang deras gila. So betullah kata guide, tersangatlah bahaya untuk crossing petang ni jugak. Semuanya sudah berpuas hati, so kitorang pun setup fly dekat Kem Melentik ni. Tapi campsite ni kurang selesa dan kurang tempat rata, jadi semua 4 fly kena pasang asing-asing. Before malam menjelma, abang engku bagi peringatan dekat kitorang, "Malam ni no speaker, jangan galak sangat, kita jaga adab dengan tempat ni".


Fly dipasang asing-asing

Malam tu semua masak & makan dinner macam biasa. "Weh jomlah kita solat hajat kita doa agar esok segalanya dipermudahkan" kata Lukman. Tengah-tengah sembang tu aku asyik tenung langit. Ya, flashlight masih lagi menunjukkan kelibatnya.

Tengah-tengah lena dibuai mimpi, aku dapat merasakan yang fly kami ni disinggahi dengan titisan-titisan hujan yang sudah tidak asing lagi bagi kami sejak 3 malam yang lepas. Aku hanya mampu berdoa dalam kelembutan sleeping bag agar semuanya dipermudahkan pada hari esok.

25/8/2019- 5th Day (Kem Melentik-Kem Teku-Bukit Botak-Bukit Sarsi-Kem Pangkin)

Pagi yang gelap, kini sudah cerah. Cuaca pada pagi ini menunjukkan tanda-tanda yang baik, arus & paras sungai pun bagi tanda yang positif. Abang engku bagi pengumuman yang harini perjalanan kita akan diteruskan yeay!!!!! Lepas siap-siap masak & makan breakfast kitorang pun mula bergerak jam 8.15 pagi.

"Untuk perjalanan kita pada harini, kita akan target ke Kem Gedung. Alhamdulillah sungai pada pagi ini bagi penanda yang baik. Lepas dari Kem Melentik ni, kita akan ke Kem Teku. Bila kita sampai dekat Kem Teku, jangan risau, Puncak Tahan dah dalam genggaman kita, sebab Kem Teku ni dah dekat kaki Gunung Tahan" sedikit kata-kata inspirasi dari abang engku bagi menceriakan pagi hari.

Sungai selebar 100m yang harus dilintasi

Untuk ke Kem Teku, sebanyak 5 sungai yang agak dalam serta arus yang deras perlu dilintasi. Walau sudah surut, namun sungai-sungai di sini tidak membenarkan kami dengan mudah untuk melintasinya. Segala keringat dicurahkan untuk membantu sesama lineup bagi melintasi sungai-sungai ini dengan penuh cabaran.

Kerjasama sesama lineup amat penting bagi melintasi arus sungai yang deras dan dalam

Sungai yang lebih dalam dan deras perlu dilintasi dengan lebih berhati-hati & cermat

Pada jam 11.00 pagi, kami tiba di Kem Teku untuk lunch. Untuk perancangan asal, kami sepatutnya tidur di kem ni lepas river crossing dari Kem Puteh, sebab kem ni agak luas dan mampu memuatkan ramai orang. Oh sebelum sampai ke Kem Teku ni, kena lintas last sungai. Belah kanan ialah Sungai Teku, dan di sebelah kiri ialah Sungai Tahan, kiranya sini ialah pertembungan dua sungai ataupun sungai 'Y'. 

Kem Teku

Selepas semua siap-siap habis lunch, kami meneruskan perjalanan pada jam 12.15pm. Dari Kem Teku, perjalanan diteruskan menuju ke Bukit Teku. Pukul 1.30pm kami sampai di Puncak Botak. Dari botak, kami teruskan perjalanan menuju ke Bukit Sarsi. Bukit Sarsi ni agak memacak juga lah. Disebabkan aku sampai agak awal kat sini kira-kira 3.30pm, so aku bentang ground personal then tidur short nap before tunggu yang lain sampai. 

Masa dalam perjalanan dari Kem Melentik, kami terjumpa seorang mat salleh. Michael namanya, berasal dari Austria, tengah travel around Asia. Gambar di atas diambil di Bukit Botak. Dia punya bukit ni hahahaha.

View selepas Bukit Sarsi menuju ke Kem Pangkin. Gunung yang ditunjuk itu ialah Gunung Pantat Lesung, dan pokok di hadapan tali itu hanya boleh dijumpai di Gunung Tahan sahaja menurut Abang Engku, tapi aku lupa namanya.

Siapa yang tak tahan sangat bagi nama kat lembah ni

Dari Bukit Sarsi ni, perjalanan akan diteruskan ke Kem Pangkin. Kami sampai di Kem Pangkin pada jam 6.00pm, maka cancel la target asal nak ke Kem Gedung. Ketinggian campsite ni adalah 1240m, so korang boleh bayangkan lah macam mana elevation naik daripada 200m ke 1240m dia punya pacak tu takda diskaun hahaha. Dekat Kem Pangkin ni agak sempit, guide pun katanya kurang enak campsite ni. Malam tu bukak 3 fly besar dekat kem tu, lagi 6 orang bukak fly personal dekat bawah, lebih kurang 48saat je nak turun ke situ hahaha. Nak pergi waterpoint pun kena turun dalam 5 minit, tapi masa nak naik tu lagi mencanak dari dekat Kem Tengah haritu, air dia pun warna coklat, standard air Gunung Tahan. Ok fyi, air dekat Gunung Tahan ni memang warna coklat, macam air karat tu, tapi selamat je minum, cuma warna je lain sikit. Rasa dia pun lain sikit, maybe sebab pH dia tinggi so air tu rasa beralkali sikit, tapi air yang beralkali tinggi ni lah yang berkhasiat. Orang kata air dia warna coklat sebab batu-batu kat situ. So kalau korang datang Gunung Tahan ni jangan hesitate ok untuk minum air sungai tu.

Kem Pangkin yang agak sempit

Air dia memang warna macam ni, takda tambah kordial apa-apa ni eh

Oh malam ni group 2 makan spaghetti bolognese + cheese powder dayyum sedapnya terima kasih tukang masak!  

26/8/2019- 6th Day (Kem Pangkin-Kem Tangga Lima Belas-Kem Reskit-Kem Gedung-Puncak Gedung-Puncak Gunung Tahan)

Pagi ini kami bersiap seperti biasa, dan mula gerak jam 9.30pagi. Perjalanan menuju je destinasi seterusnya iaitu Kem Tangga Lima Belas mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit. Kami sampai di tangga 15 pada pukul 11. Untuk pertama kalinya dalam 6 hari ini dapat coverage line untuk handphone, so apa lagi masing-masing bukak phone cari line untuk update kepada keluarga dan sahabat handai masing-masing. Belle dengan segera call Wajihah as a ground crew untuk update pasal bas yang kitorang akan extend satu hari.

Masing-masing mencari line

Kenapa nama tempat ni tangga 15? Sebab hampir kesemua anak tangga tersebut ada 15. Yang pastinya start daripada sini dah mula main tangga, ada yang menurun dan ada juga yang menaik, dan yang pastinya tangga-tangga ini jauh lebih tinggi dan menegak. Bak kata adib "takdalah 90 degree, cuma 80 lebih tu ada lah". Perjalanan sepanjang tangga 15 ini penuh dengan berbatu dan curam.

Tangga 15 yang penuh dengan tangga yang curam dan batu-batu
80 lebih degree
Kabus nyaman

Daripada tangga 15, perjalanan diteruskan lagi. Menaik dan terus menaik, kami sampai ke Kem Reskit pada jam 12.25pm. Dekat sini cuma berhenti berehat ambik nafas sekejap, then teruskan perjalanan menuju ke Kem Gedung. Perjalanan dari reskit ke gedung agak menarik, kerana dapat menyaksikan perubahan jenis tumbuhan mengikut ketinggian yakni daripada hutan gunung ke kawasan yang penuh dengan tumbuhan renek, kebanyakannya terdiri daripada pokok bonsai dan periuk kera. Jika diperhatikan tumbuhan ini tumbuh meluas seperti padang, dan seluas mata memandang.

Mossy forest sebelum sampai ke Kem Gedung

Kami tiba di Kem Gedung pada jam 1.40pm. Sampai je di campsite ni, aku tergamam seketika. Allahu cantiknya keindahan tuhan. Selama hidup aku berjinak dalam sukan pergunungan ini, ni lah first time aku tengok view secantik ni. Tiada pohon-pohon tinggi yang menghalang view, yang ada hanyalah view seluas mata memandang (macam Kundasang takpun New Zealand), dipayungi pula dengan awan-awan di sekeliling Kem Gedung ini.

Kem Gedung

Then guide syahmi ajak pula pergi turun ambik air untuk masak lunch, untuk turun ke waterpoint dalam 5 minit, kitorang pun ikut. Sekali lagi aku terpesona dengan keindahan alam, air yang dikira laju menyusuri di celah-celah batu entah dari mana puncanya. Kami ada terfikir sejenak dari mana datangnya air yang laju ni, sedangkan puncak gedung ni nampak macam padang luas sahaja, dan tiada langsung aliran sungai di gunung yang di altitude tinggi ini. Tapi takpalah, itulah yang kita panggil keajaiban Tuhan, mungkin air ini keluar daripada mata air dari satu punca di gunung ini, terfikir ku sejenak.

Air yang jernih dan segar

Air terjun Gedung pun siap payung view lagi

Dari Kem Gedung, kami menuju ke destinasi terakhir kami yang ditunggu-tunggu pada hari ini, iaitu Puncak Gunung Tahan!!! Perjalanan mengambil masa lebih kurang 4 jam dari Kem Gedung ke puncak. Pada jam lebih kurang 3.30pm, kami mula bergerak dari Kem Gedung, dan tiba di Puncak Gedung pada jam 4.30pm. Sejujurnya aku cakap, aku gerak dengan pace yang sangat slow dengan group belakang. Sebab apa? Sebab kawasan dari Puncak Gedung ni menyajikan view yang tersangat-sangat cantik. Aku tahu yang aku takkan dapat view yang macam ni lagi dekat tempat lain, jadi aku berjalan dengan tenang dan banyak stop sebab nak ambil gambar dan layan view. Cuaca pun agak baik, dia kasi redup-redup je cuaca tak panas tak mendung sangat alhamdulillah hari-hari sebelum ni kami diuji dengan hujan, tapi kalini cuaca agak baik dan tak panas masa layan view. Guide kata kebiasaannya sini memang panas terik melampau sebab semua pokok sekeliling sini sangat renek, so sebab tu diorang pakai shade dengan buff tutup muka masa gerak dari gedung tadi, tapi cuaca mengizinkan so kami pun jalan dan layan view seperti biasa. Nah saksikanlah keindahan view dari Kem Gedung.

Mesmerized by the beauty of Mount Tahan



Magnificient view of Kem Padang from Gedung

Jalan yang penuh dengan batu granite, dan yes berjalan di atas awan!

Boleh bayangkan tak panas dia kalau cuaca panas terik kat sini


Terpaku dengan keindahan Gedung

Dekat area Puncak Gedung ni, terdapat banyak pokok bonsai dan periuk kera. Tidak jauh daripada sini terdapat bangkai kapal terbang dari zaman perang dunia ke-2. Terdapat plate memorial diletakkan di atas bangkai tersebut dan bangkai tersebut juga agak tersusun rapi di kawasan tersebut.

Bangkai kapal terbang dari Perang Dunia ke-2
In memory

Sampai di satu kawasan yang agak luas, terdapat Kam menunggu kami di situ. Kam kata kitorang masih ada peluang untuk sampai ke puncak before hari gelap. Jam menunjukkan 6.20pm, kalau kitorang push sikit sempat lagi untuk sampai puncak before 7.30pm. Lepas ambik gambar dekat situ, perjalanan diteruskan lagi ke satu kawasan lembah pergunungan, dekat sini pun berhenti ambik gambar lagi hahaha. Lepas je lembah ni, masuk ke dalam hutan padat balik. Agak unik sebenarnya hutan dekat sini, dari bonsai ke hutan padat kemudian ke bonsai balik.

Di lembah pergunungan


Tuuuuu dah tak jauh dah tu puncak nya

Dari sini aku dengan CK decide untuk push so that boleh capai puncak before gelap, and dapat bergambar sebelum matahari menyorokkan dirinya. Jalan punya laju, ada kalanya kami berlari, sebab trek dekat sini dah tutup, and no more view macam dekat area Gedung tadi. Tapi, ada tapi dia, otw ke puncak ni kena lalu ikut laluan air. Bila disebut laluan air, bukan lah sungai, tapi dia macam longkang kecik, (tanah dia macam tanah liat yang keras) and laluan ni penuh dengan lopak air, beserta licin. Disebabkan aku berjalan dengan agak laju, agak banyak kali jugak lah terjatuh dekat laluan ni hahaha. Perasaan semangat memecut tu memuncak sebab dari jauh boleh nampak dah puncak tu kat mana, so makin dekat dengan puncak makin semangat untuk mendaki.

Akhirnya kami pun tiba di puncak yang ditunggu-tunggu, iaitu Puncak Gunung Tahan pada jam 7.20pm. Paling awal sampai pada jam 7.10pm, yang lain menyusul selepas itu. 

I've made it! Graduated!

Bila tiba masanya maghrib, abang engku suruh perlahankan suara bagi menjaga adab. Mengikut plan asal, kami sebenarnya ingin mengadakan majlis graduasi bagi peserta-peserta V3 yang lepas kerana telah berjaya menawan kesemua puncak gunung G7 (7 puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia yang melebihi 7000 kaki). Tapi kerana malam, kami terpaksa membatalkan niat tersebut.

Jam menunjukkan 8.30pm. Orang terakhir beserta sweeper akhirnya sampai ke puncak. Selesai saja meraikan pencapaian mereka serta mengambil photo group beramai-ramai, guide panggil aku dengan belle untuk berbincang. Sekali lagi ia nya berlaku. Masalah yang timbul kalini pulak ialah lineup ada yang injured, mental koyak dan barai (Anisya & Mira), jadi guide beri 2 pilihan:

1. Tidur di puncak tahan, esok pagi gerak Kem Botak.
2. Tidur di Kem Botak, lebih kurang 30minit-sejam ikut pace malam, tapi ration mira dengan anisya cai sesama lineup.

Cuaca pun dah makin gelap dan sejuk. Ada yang membangkang tidur di puncak kerana sejuk & punca air tiada, air terpaksa ambik dari lopak, tapi tidak semestinya bersih. Ada pula yang menyokong tidur di puncak kerana impian. Impian untuk tidur di puncak tertinggi di semenanjung, mungkin datang hanya sekali seumur hidup. Aku bertanya kepada guide, sekiranya esok try push terus keluar sampai sg relau, dan tak sempat untuk undeclare barang (kiranya tidur dekat bawah tapi tak sempat naik 4wheel), dikira tak extend atau tetap extend? Guide menerangkan yang itu tetap dikira extend, sebab 4wheel takkan ambik selepas pukul 6, dan office Taman Negara pun tutup pukul 5pm. Memandangkan dia dah kata macam tu, kitorang pun sepakat yang tak perlu pun push untuk keluar awal, sebab tetap dikira extend. Jadi kami ambil keputusan untuk tidur di puncak Gunung Tahan, esok pagi nya gerak ke Kem Botak dan seterusnya tidur di Kem Kor, lusa baru keluar ke Sg. Relau. Keputusan yang dibuat ini adalah yang terbaik memandangkan keadaan lineup yang lemau dan kurang upaya untuk berjalan malam.

Untuk campsite di puncak, bukanlah di kawasan signboard 'Gunung Tahan' tu, tapi kena berjalan beberapa langkah ke depan otw ke Kem Botak, dekat situ ada kawasan berpokok, so kurang lah sikit daripada laluan angin. Di sini setiap kumpulan dipecahkan kepada 2 group, ada group yang pasang fly, dan ada group yang pergi tank air. Untuk group tank air, ada cerita yang agak menarik. Abang engku selaku guide tunjuk lah dekat kitorang mana port lopak yang elok untuk ambik air (lopak yang elok adalah lopak yang tak terusik dan tak dipijak), masa dia tengah-tengah tunjuk lopak yang bersih tu, datang si Ben ni tah cemana tah dia terpijak lopak yang abang engku tunjuk tadi hahhahahahaha bongok punya Ben.

Suasana di puncak amatlah menarik. Cuaca yang nyaman, dipayungi pula dengan keindahan bintang-bintang di langit, sangatlah mendamaikan. Selepas selesai makan dinner, jadi masing-masing masuk ke bawah fly mempersiapkan diri untuk tidur. Aku dan beberapa orang asyik mendongak kelangit, memerhati keindahan bintang yang bertaburan ibarat pasir di pantai. Sedang asyik stargazing, mata mula terpesona tatkala terlihat akan kelibat 'milkyway'. Ya sahabat, milkyway. Buat pertama kalinya dalam hidupku selama aku mendaki di gunung-gunung Malaysia ini, ini pertama kalinya aku nampak milky way di kawasan pergunungan Malaysia. "Weh tu nampak tak tu?! Taik bintang lalu weh!!!" Selain milky way, kami juga beberapa kali ternampak taik bintang lalu di langit yang cerah dengan kerdipan bintang pada malam itu. Aku kira dalam 5 kali ternampak taik bintang. Betullah, gunung tahan ni is something special, lain daripada gunung yang ada di Malaysia ini. Sekali lagiku terpegun dengan keindahan ciptaan Tuhan pada malam itu.

Milkyway from the highest peak of Peninsular Malaysia :)

27/8/2019- 7th Day (Puncak Tahan-Kem Botak-Kem Bonsai-Bukit V-Kem Belumut-Kem Kubang-Kem Permatang-Kem Kor)

Bangun pagi, turn group aku untuk memasak. Tapi selain memasak, aku ada misi lain lagi untuk pagi ni, iaitu layan sunrise di puncak. Cuaca yang dingin serta angin yang kuat menyukarkan yang lain untuk turut bangun pada pagi itu. Namun aku tetap bangun, ambil selipar untuk menuju ke puncak yang hanya beberapa langkah dari campsite, lantas aku ternampak kelibat Maman di hadapanku, seperti yang telah dijangka, dia mesti bangun pagi untuk shoot sunrise pula. Belum sempat aku tegur Maman, dari jauh aku dah nampak kelibat matahari yang seakan-akan malu untuk menonjolkan dirinya. Angin yang kuat, awan serta kabus yang agak tebal cuba menculik matahari daripada pandangan kami. Apa yang kami dapat lihat hanyalah cahaya matahari yang agak samar dan kadang kalanya nampak bentuk bulat, bukanlah cahaya pagi yang indah serta awan karpet yang kebiasaannya diimpikan oleh setiap para pendaki apabila berada di puncak gunung di pagi hari. Tapi aku tidaklah berasa kecewa kerana peluang untuk melihat milkyway pada malam tadi lebih 'rare'.

Campsite di Puncak Tahan
Selesai sahaja makan breakfast & bersiap-siap, kami menuju balik ke puncak bagi mengambil group photo yang lebih jelas di siang hari. Masa ni baru lah boleh adakan majlis graduasi! Pagi di puncak Tahan menyajikan view yang sangat clear dan cantik, jelas kecantikan dan keunikan Banjaran Tahan di mata kami. Lantas kami pun berkumpul untuk menyanyikan lagu UiTM Di Hatiku sebagai simbolik lagu kebanggaan kami dan juga sebagai lagu yang wajib dinyanyikan oleh para graduan pada setiap sesi majlis konvokesyen UiTM.



Pada pagi yang indah ini, kami turut disapa oleh satu lagi kumpulan pendaki daripada UUM. Mereka lebih kurang dalam 30 orang juga seperti kami. Jadi agak padat lah puncak ketika itu, ada dalam 60 orang pagi tu! Mereka melakukan ekspedisi menawan Puncak Gunung Tahan mengikut laluan Merapoh-Kuala Tahan, dan malam semalamnya mereka tidur di Kem Botak. Keputusan kami untuk tidur di puncak dan bukan di Kem Botak amatlah tepat dan positif.




Tahniah kepada semua para graduan G7!

Lepas semua sudah puas bergambar, kami pun bergerak pada jam 11.00 pagi menuju ke Kem Botak. Perjalanan dari puncak ke Kem Botak menyajikan lagi view yang menarik. Dari puncak dah boleh nampak Kem Botak, kiranya memang view dia open habis, yep sama lebih kurang Gedung. Cuma apa yang bezanya laluan ke botak lebih banyak lecak dan batu-batu yang pecah lebih banyak sepanjang trek. Dan lagi satu cuaca pada hari ini tersangatlah panas, kalau di gedung agak redup, tapi menuju ke botak tersangatlah panas terik, ditambah pula tiada pokok-pokok untuk berteduh. Kulit mula kepanasan dan kemerah-merahan menandakan kulit sudah mulai 'sunburn'.

Jadi atas dah boleh nampak Kem Botak, tu yang luas tengah-tengah tu

Kem Botak

Oh ada satu peristiwa menarik berlaku kepada Top. Dia... hahahhahaaha yang tahu je tahu. Sampai di Kem Botak pada jam 11.30 pagi. Masing-masing berehat seketika, topup air dekat waterpoint terdekat untuk diminum. Kem Botak ni lebih kurang Kem Gedung, cuma jarak dia lebih dekat nak dibandingkan dengan Gedung, dan ia nya juga tempat peralihan daripada hutan bonsai yang renek kepada hutan bonsai yang agak tinggi paras-paras kepala.

Daripada Kem Botak, kami meneruskan perjalanan menuju ke Kem Bonsai. Trek menuju ke Kem Bonsai agak sempit, dan penuh dengan lecak. Tiada siapa pun terlepas dari terpijak lecak (kecuali Sid kot hahahaha), dan lecak dia boleh tahan juga dalam. Pokok-pokok area sini masih bonsai, tapi dah paras kepala, tapi still tak dapat untuk menutup kepala anda dari terkena direct sunlight, ya panas dan lecak kombinasi yang amat mantap. 

View di sini teramatlah cantik. Jika dilihat disebalik pokok-pokok bonsai tersebut, pemandangan yang seluas mata memandang dapat menyejukkan mata walaupun matahari tegak di atas kepala. Terdapat juga kawasan-kawasan bonsai di kawasan ini yang ditutupi dengan tali, bagi mengelakkan orang tersasar dari trek sebenar. Dinasihatkan juga agar sentiasa berjalan dengan teman dan jika ingin bergambar di pohon-pohon bonsai yang cantik, sentiasa ada teman dan janganlah terlalu asyik bergambar kerana nanti anda slowkan pace group hahahah. Dikatakan juga di kawasan inilah Umai hilang dan kembali dijumpai di Kem Puteh 19 hari kemudian wallahualam. 

aww indahnya tempat bonsai ni

Berhenti rehat di Kem Bonsai pada pukul 12.40pm, dan kemudiannya perjalanan diteruskan. Daripada Kem Bonsai ke destinasi seterusnya, bukan lagi hutan bonsai, tapi sudah mulai memasuki hutan padat. Mengenai trek pula, trek di belah Merapoh ni agak barai jika dibandingkan dengan belah Kuala yang masih cantik dan terjaga, mungkin kerana ramai sangat pendaki yang naik Gunung Tahan melalui Merapoh, trek dah lebih kurang macam trek Yong Yap takpun belah-belah Titiwangsa sana. Kami berhenti rehat untuk lunch dan topup air di Bukit V pada pukul 2.30pm, dan perjalanan diteruskan kemudiannya menuju ke Kem Belumut pula. Hari sudah semakin mendung, dan abang engku suruh perlahankan speaker kami. Kami tiba di Kem Belumut pada jam 4.15pm, sebelum sampai di Kem Kubang pada jam 4.45pm.

Perjalanan terpaksa dihentikan seketika kerana hujan turun dengan lebatnya. Guide mula beri briefing "Siapa yang boleh push, try push kat depan, nanti sampai dekat Kem Kor boleh setup fly ke masak air ke buat apa yang patut dulu, kitorang guide yang dekat belakang ni akan push lineup dari belakang". Jadi geng-geng berdesup pun pergi ke hadapan, diketuai oleh Syahmi sebagai guide penunjuk arah. Trek menuju ke Kem Kor agak extreme juga, boleh dikatakan semua turun menjunam, dan trek agak licin kerana hujan. Jalan agak laju dan ada yang kecundang jatuh (salah satunya Pesto) kerana hujan yang lebat, trek basah dan licin. Kami terus berjalan dan berlari. eh. sehingga tiba di Kem Permatang pada jam 4.25 petang. Di Kem Permatang kami take 5 sekejap ambik nafas sebelum sambung menuju ke Kem Kor dan sampai di campsite pada pukul 6.10pm. Sampai-sampai di campsite basuh-basuh badan dan setup bungalow 3 fly.

Jadi malam ini adalah malam terakhir. Kem Kor ni boleh dikira sebagai campsite yang agak luas dan selesa. Nak mandi pun sungai dekat sebelah je, apa yang bestnya bila mandi kat sini ada anak-anak ikan akan gigit-gigit kaki korang macam dekat spa gitteww. So malam ni memang santai habis, sembang-sembang bawah fly, pasang lagu, buat 'cheeseboom' dayyum sedapnya terima kasih tukang masak! Hari makin gelap, dan ada yang mula terlelap, walaupun malam masih muda (aku lah tu). Sedang lena dibuai mimpi indah di dalam sleeping bag beserta bantal angin Decathlon, tetiba aku terdengar jeritan seseorang, "Lari lari lari! Gajah gajah!" Mataku terus celik, ternampak semua orang bertempiaran lari! Apa lagi aku pun turut berlari dengan sleeping-sleeping bag aku bawak sekali (macam lari dalam guni) habis beg kat luar aku langgar nak selamatkan diri. Yang tengah masak cheeseboom pun lari dengan tepung-tepung kat tangan. Yelah siapa je tak takut kalau dah binatang tu nak langgar memang habis kitorang. "Fly wan ok tak tu?" seseorang bertanya, lantas semua memandang ke fly personal wan. Aku yang terperanjat dan cemas masa tu agak terpinga-pinga, rupanya bukan gajah yang datang membawa badai, tetapi pokok yang tumbang di sebelah fly wan. 

Semasa kejadian berlaku, ada beberapa rakan kami yang sedang melepak dan berborak-borak di tepi sungai ketika itu. Berdasarkan penceritaan saksi di tempat kejadian, tiada angin tiada ribut pun ketika itu. Pada mulanya mereka terdengar bunyi seperti pokok bergoyang, mereka sangka ada binatang yang bergayut di pokok itu. Mujur abang engku perasan akan bunyi pokok itu dan dia perasan yang pokok tu akan tumbang, jadi dia segera menjerit dekat semua rakan kami yang tengah lepak dekat bawah sungai itu supaya lari menyelamatkan diri. Apa lagi semua bertempiaran lari lah, alhamdulillah nasib baik Haziq, Maman & Jidin terselamat dan tiada apa-apa yang berlaku ke atas mereka. Yang kami di bawah fly pula salah tafsir, Pesto suruh lari ingatkan gajah datang mengamuk sebab bunyi pokok tumbang tu seakan-akan ada binatang besar yang datang melanggar. Kalau dilihat kembali daun-daun dan dahan pokok itu, masih lagi hidup segar, dan tiada sebarang petanda pokok mati pun. Bila difikirkan logik, bagaimana pokok yang masih hidup segar, boleh tumbang tanpa sebarang angin ribut, tanpa seekor binatang pun, jatuh menghempap tepat pulak tu ke kawasan rakan kami sedang berborak. Seperti "ada" yang tidak suka dan tidak mengizinkan kehadiran kami di kawasan itu. 

Tempat kejadian

Inilah pokoknya, rupanya ada parasit yang makan tengah-tengah batang pokok tu, so sebab tu dia patah belah atas je

28/8/2019- 8th Day (Kem Kor-Lata Luis-Kuala Luis-Kuala Juram/Sungai Relau)

Yeah!!!!!! Last day kami di sini sebelum kami keluar berjumpa tamadun. Disebabkan santai habis, jadi pagi ni pun semua bermalas-malasan. First time aku tengok budak-budak ni mandi pagi before trekking, biasanya orang mandi lepas habis trekking je, takpun tak mandi langsung hehehe. Pagi ni group kitorang makan nasi impit+kuah lodeh+sambal ikan bilis ya allah sedapnya! Lepastu siap ada pudding mangga lagi, siap boleh-boleh pass pass lagi huhuhu bukan macam group sebelah siap makan pakai glove lagi yekkk. Lepas siap- siap semua start trekking pukul 11.30 pagi agak lambat jugak tu ya bukan main santai lagi.

Bermalas-malasan di Kem Kor
Sarapan lonteng dengan sambal ikan bilis

Trek daripada Kem Kor ni turun landai je sampai ke bawah, dah takda turun curam lagi dah, cuma ada lah lintas sungai sikit-sikit. Pukul 12.00 kami sampai di Lata Luis, air terjun dekat sini agak tinggi, dah lah tinggi tersangat cantik pulak tu. Daripada Lata Luis, perjalanan turun melandai terus ke Kuala Luis. Dekat Kuala Luis ni kena lintas sungai, and sungai tu pun agak dalam, siap ada tali lagi. Sampai je sini guide bagi kami peluang untuk mandi and lunch, sementara nak tunggu untuk semua sampai and regroup.


Mandi-manda before turun Kuala Juram

Mandi punya mandi, bukan main seronok lagi, besar jugak lah kawasan sungai tu, kitorang mandi sampai ke air terjun dekat hujung sungai tu, air dia takda lah dalam mana cuma paras pinggang ke dada macam tu. Dekat sini dah dekat dah dengan sanktuari ikan kelah, so agak banyak lah jugak ikan kelah dekat sini. 


Mandi lama-lama, masih lagi ada yang tak sampai. Siapa dia sorang tu? Adib rupanya. Dia merajuk butane dia ada orang sorokkan hahaha. So apa lagi kitorang pun pening lah dengan mamat sorang ni buat hal lah pulak dah merajuk, tah tah dia stay dekat Kem Kor taknak turun barangkali. Then si 2 musibat yang sorokkan butane dia ni pun pergi cari adib. Nasib baik naik je atas sikit daripada Kuala Luis ni dah jumpa dia, dia turun slow-slow layan perasaan kot hahhaaha kelako la adib ni banyak drama betul last day ni.

Dah puas mandi, kitorang pun siap-siap untuk keluar ke Kuala Juram. Perjalanan keluar ni tersangatlah santai dan relax, siap boleh kira lagi countdown berapa meter untuk keluar ikut tagging warna pink ni. Ada lah dalam beberapa sungai kena lintas masa otw nak keluar ni, and semua jalan serentak dengan pace yang agak laju sebab semua dah tak sabar nak keluar. Jadi pada jam 3.00 petang, kami semua selamat keluar di Kuala Juram, sebelum naik 4 wheel dan semuanya selamat tiba di Taman Negara Sg Relau pada jam 4.25 petang untuk undeclare barang, penyerahan sijil dan tunggu bas untuk balik ke Shah Alam pukul 6.30 petang.
Ucapan ulang tahun ke-80 Taman Negara daripada KRESMA UiTM

Group Photo bersama guide sebaik sahaja sampai di Kuala Juram
Para lineup beserta sijil graduasi masing-masing di Taman Negara Pahang, Sungai Relau

Jadi itu sahajalah hasil nukilan penceritaan saya untuk trip kalini. Betullah kata orang, Gunung Tahan ni lain daripada gunung yang lain. Setiap gunung ada keistimewaan dia tersendiri. Bak kata Abang Engku "lain padang lain belalang" apa yang penting kita mestilah jaga adab dengan alam ni, jangan timbul perasaan bongkak, atau apa pun yang negatif kerana ingatlah bahawa bumi ini bukan diciptakan untuk para manusia sahaja. Terima kasih kepada guide kami Abang Engku, Abang Wan, Syahmi dan Farhan kerana sanggup bawa kami naik dan turun dengan selamat serta sabar melayan kerenah kami ni yang bermacam ragam. Andai ada yang tersinggung atau terasa dengan penulisan saya ini saya mohon maaf kerana saya juga manusia biasa yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Terima kasih kerana sanggup meluangkan masa untuk membaca entri ini dan semoga kita berjumpa lagi!






No comments:

Post a Comment